sebuah ikatan


Membina ikatan persis membina sebuah mahligai terindah, tapaknya perlu kukuh atas landasan kecintaan, dilengkapi batu bata kepercayaan dan diperteguh tiang kasih sayang. Tampak cantik dihias rona bebunga di taman, saat mentari pagi menyimbah cerlang sinarnya. Si Tiung singgah mengalun, berkicauan lagu cinta, saksi romantisnya jiwa. Namun, membinanya bukanlah semudah menyaksikannya, nampak kirana di mata tetapi memerlukan kudrat dan keringat dalam memacunya.
"Lelaki yang baik diciptakan untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik diciptakan untuk lelaki yang baik."
''Sebaik-baik perhiasan di dunia ini ialah wanita solehah''
Ketahuilah wanita solehah, bahawa dirimu amat bernilai. Selautan emas waima segunung permata bukan tandinganmu kerana dirimu jauh lebih tinggi nilainya di kaca mata Islam. Usah mudah memberi cinta, kelak binasa jiwa. Sebaliknya, ujilah si dia agar simpulan kasih tidak mudah terungkai, ikatan sayang tidak mudah bercerai.
Jika ingin memilih membina ikatan, maka bersiagalah kerana era penuh air mata dan duka akan menantimu. Kuatkanlah keteguhan nalurimu agar segala yang ditempuhi mendapat inayah-Nya. Ingatlah bahawa mencari bahagia itu tidak ubah seperti menanam si mawar berduri. Sebaik ditanam tidak terus berputik bunga kirana, tetapi tumbuh dahulu duri yang berbisa.

1 comment:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete